1)          Menjaganya semenjak bayi di dalam rahim ibu.  Islam tidak   hanya menjaga anak selepas ia keluar tetapi sebelum itu lagi dan   perkara ini dapat dilakukan dengan cara :-
a)     Memilih isteri   yang sesuai dan baik kerana perkara ini penting untuk dapatkan zuriat   yang baik sampailah ke hari mati.  Nabi s.a.w. ada bersabda:
(تخيَّروا لنطفكم)[1]                     
      Maksud: Pilihlah isteri yang sesuai untuk benih-benih kamu (anak-anak).
                 Diriwayatkan ada seorang datang kepada Saidina Umar menceritakan   keburukan perangai anaknya lalu Saidina Umar r.a. memanggil anaknya dan   mengingatkannya tentang besarnya dosa menderhaka ibubapa.  Si anak tadi   bertanya Saidina Umar : “Tidakkah anak juga ada hak ke atas  ibubapanya”?  Jawab  Umar : Ya! Anak itu tanya : “Apakah dia hak-hak  mereka”?   Saidina Umar menjawab hak-hak anak ialah : “Hendaklah si bapa  memilih  ibu yang solehah, memberi nama yang baik untuk anaknya dan  mengajarnya  Al-Quran.  Si anak terus jawab selepas itu : “Dia tidak  membuat satu pun  daripada 3 perkara itu.  Yang pertama dia tidak pilih  isteri yang baik,  ibuku seorang Negro 
(زنجيه)  hamba kepada seorang majusi. Kedua dia menamakanku Ja'lun (Ja'ranun).   Ketiga dia tak mengajarku satu huruf pun daripada Al-Quran”. Saidina   Umar r.a. pun berkata : “Adakah kamu datang untuk mengadukan kepadaku   kederhakaan anakmu........ kamu yang telah menderhakainya sebelum dia   menderhakaimu”.
      -        Usman b. Abi - Al 'Ash juga   ada berkata kepada anak-anaknya : Aku telah memuliakan kamu semua   dengan ibu-ibu kamu yang mulia, orang yang nikah itu adalah petani, maka   hendaklah seseorang petani itu memastikan tempat dia meletak   tanamannya.
Jika dia berjaya berbuat demikian sesungguhnya   dia telah berjaya mendidik anaknya 20 tahun atau lebih sebelum anak  itu  dilahirkan lagi.  Seorang ahli bijaksana ada berkata : Mulakanlah   tarbiyyah anakmu 20 tahun sebelum anak itu dilahirkan.
b)     Menjaga kesihatan ibu yang hamil :
              Ini termasuk menjaga makan minumnya supaya dapat menjaga kesihatan   bayi.  Semua yang baik dan buruk akan memberi kesan pada anak itu.  Juga   menjaga hubungan dengan isteri yang hamil itu supaya dia tidak terasa   sakit hati.  Ibu juga dinasihatkan tidak mengambil makanan yang   memudharatkan semasa mengandung seperti merokok, minum arak dan   lain-lain.
                                    Terdapat   banyak bukti menunjukkan kesan-kesan sampingan yang dahsyat pada   anak-anak yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang memakan bahan-bahan yang   merosakkan itu seperti yang tercatat dalam kajian-kajian yang   dijelaskan.
                                     Tekanan  perasaan, sakit jiwa dan spiritual anak banyak dipengaruhi oleh  suasana  semasa ia berada dalam kandungan dan semasa ia menyusu.   Seorang ahli  perubatan Perancis mengatakan tindak-tanduk anak selalu  dipengaruhi  oleh keadaannya semasa 5 tahun pertama hidup di dunia.   Kajian juga  menunjukkan seseorang yang sakit jiwa selalunya telah  terdedah kepada  unsur-unsur negatif di zaman kanak-kanaknya.
                                      Realiti ini berkaitan rapat dengan tempoh hidup kanak-kanak yang   pertama (5 tahun pertama) semenjak dilahirkan termasuk tempoh dia berada   dalam kandungannya.
c)     Menjaga hak harta pesaka bayi.
                 Jika bapanya mati, maka harta yang ditinggalkan tidak boleh  dibahagikan  sampai bayi itu dilahirkan supaya masa depannya  terpelihara. Jika  dibahagikan juga, maka hendaklah dikhaskan sebahagian  yang tertentu  untuk diberi kepada bayi itu bergantung kepada  jantinanya.  Sekiranya  anak yang dilahirkan itu tidak tepat seperti  yang dijangkakan, maka  hendaklah diberikan yang baki yang merupakan  haknya atau hendaklah  dipotong sebahagiannya.
d)     Menjaga kesihatan janin.
                                      Islam meringankan beberapa perkara ke atas wanita hamil untuk   memudahkannya. Sebagai contoh wanita hamil dibolehkan berbuka puasa.
e)     Islam juga mengenakan hukuman yang berat ke atas pembunuh anak walaupun ianya masih lagi janin seperti di dalam hadith :
(في الجنين غرّة عبد أو وليدة) [2]                           
Maksud: Dalam membunuh janin wajib kifarah (denda) hamba lelaki atau perempuan.
           Begitu juga perempuan hamil kerana zina tidak dikenakan hukuman hudud   atasnya sehingga dia melahirkan anak.  Inilah yang dilakukan oleh   Rasulullah (s.a.w.) kepada perempuan Al-Ghamidiyyah yang berzina,   Baginda melewatkan hukuman ke atasnya sehingga dia melahir dan kemudian   menyusukan anaknya.
2)          Menjaga anak selepas kelahirannya.
a)        Menjaga nasabnya iaitu si anak layak dinasabkan kepada ayahnya  selepas  dilahirkan.  Nasab yang dimaksudkan ialah 'bin' anak itu.  Anak  yang  dilahirkan mesti di 'bin' kan kepada ayahnya.  Anak-anak ayahnya  yang  lain adalah adik-beradiknya.
Anak zina tidak boleh  di'bin'kan  kepada lelaki yang berzina dengan emaknya walaupun ada  ikatan darah  daging antaranya dengan anak zina itu. Ini kerana syara'  tidak  mengiktiraf perbuatan terkutuk itu sebagai cara mendapatkan  anak.  Anak  zina tidak layak mendapat harta ayah zinanya dan juga tidak  berhak  mewarisi harta ayahnya itu.
         Nasab itu  juga sabit  dengan cara tidur sekali bagi suami isteri.  Ini kerana anak  itu adalah  hasil perkahwinan antara lelaki dan perempuan itu (jika  dilahirkan dalam  tempoh yang sedia diketahui dalam Islam)
                                      Di antara hak anak juga untuk mengetahui saudara-maranya dan kaum   kerabatnya. Budaya hidup dengan maksiat seperti yang berleluasa di   negara-negara barat dan  falsafah Karl Marx yang mengajak dan menyeru   kepada hidup bebas tidak mengenal hak ini.  Falsafah-falsafah seperti   inilah yang melahirkan generasi yang tidak kenal bapa mereka.  Merekalah   yang di hina dan dicaci dalam masyarakat disebabkan ketiadaan bapa  yang  dapat melindungi mereka.  Tempat-tempat penjagaan seperti tadika,   nurseri dan sebagainya tidak akan dapat memainkan peranan sebuah   keluarga yang dipimpin oleh seorang ayah yang dicurahkan kasih sayang   oleh seorang ibu.
                                      Memandangkan kepentingan keturunan inilah, Islam meminta seseorang   muslim untuk memastikan kesahihan nasabnya dan Saidina Umar r.a. ada   berkata : Pelajarilah ilmu nasab kerana ia merapatkan hubungan   kekeluargaan antara kamu.
b)     Memberi nama yang baik :
                                   Itulah hak-hak anak-anak ke atas bapa-bapa.  Bapa hendaklah memberi   nama yang baik kerana Rasulullah ada bersabda : 
 
(إنكم يوم القيامة تدعون بأسمائكم،وأسماء آبائكم،فأحسنوا أسماءكم)[3]
Maksud: Kamu akan di seru Hari Qiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu.
           Nama yang buruk yang menjadi ejekkan pada orang lain perlu dielakkan.    Nama sebenarnya memberi kesan pada jiwa anak-anak itu sendiri.  Telah   datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya : Apakah hak   anakku ini, jawab Baginda : Berilah nama yang baik kepadanya, ajarlah ia   akhlak  yang  baik   dan  letakkanlah  dia  di tempat   yang   baik.     Di dalam  hadith disebut, sebaik-baik nama adalah nama yang menyembah   dan menyucikan Allah .  Sebagai contoh satu hadith dari Ibnu Umar   r.anhuma :
(إن أحب اسمائكم الى الله عز وجل:عبد الله،وعبد الرحمن)[4]
Maksud : Sebaik-baik nama kamu di sisi Allah ialah Abdullah dan 
Ab. Rahman.
         Al-Mawardi mensyaratkan nama yang baik itu mestilah ada 3 perkara :-
1)     Nama ibu adalah nama orang-orang soleh.
2)     Hurufnya pendek, senang disebut dan mudah.
3)     Sesuai dengan tuan punya nama sendiri.
        Dengan sebab itulah kita lihat Nabi sering mengubah nama-nama   sahabatnya yang kurang elok daripada segi makna.  Anak Saidina Umar R.A   yang bernama 'Asiah' 
(آسية) ditukar oleh Nabi kepada Jamilah                      
(جميلة) kerana nama yang pertama tadi maknanya orang yang berbuat maksiat.  Nabi juga mengubah nama seorang yang bernama Hazen 
(حزن) yang bererti duka kepada Sahal 
(سهل)  yang bermakna mudah.  Hazen tadi tidak setuju dengan perubahan itu   dengan alasan tidak mahu mengubah nama yang diletakkan oleh bapanya lalu   berkekalanlah sifat duka padanya selepas itu.  Demikianlah riwayat  Said  bin Al-Musayyib.
      Nama menggambarkan apa yang  ada  dalam naluri seseorang. Ia juga memberitahu cara pemikiran  seseorang dan  ia akan kekal sampai matinya.  Dengan sebab itulah Islam  meminta  menamakan dengan nama yang baik.
      Pada hari  ini kita  lihat banyak nama diambil dari nama-nama yang di import di  mana  kebanyakkannya mempunyai makna kurang baik.
c)     Hak anak untuk menyusu :
      Menjadi tanggungjawab bapa menyediakan penyusu bagi si anak dalam tempoh 2 tahun.  Firman Allah :
(وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ
[5] لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ)
Maksud: Dan ibu-ibu yang melahirkan anak-anak, menyusukan anak-anak mereka 2 tahun bagi yang ingin menyusukan.
      Walaupun jumhur ulama' berpendapat ibu tidak wajib menyusukan anaknya secara hukuman tetapi perbuatan itu dianggap berdosa
 jika   ditinggalkan.  Penyusuan ibu anak itu sendiri lebih memberi faedah  pada  anaknya berbanding dengan perempuan yang lain.  Saya cenderung  untuk  menghukum ibu wajib menyusukan anaknya.
d)     Haknya untuk dapat penjagaan.
        Sekiranya ibu tidak mampu menjaga anak itu, si bapa hendaklah mencari    perempuan lain yang dapat mengganti si ibu. Pengganti itu hendaklah   seorang yang beragama, berakhlak dan menepati syarat-syarat yang   diletakkan oleh Islam.
e)     Hak mendapat perbelanjaan. (nafkah sara hidup).
        Wajib atas bapa membelanjakan untuk anak-anak mereka selagi mereka   tidak memiliki wang sendiri.  Bagi anak lelaki, tanggungjawab bapanya   berterusan sehingga dia bekerja dan bagi anak perempuan sampai   berkahwin.  Jika bapa tidak melaksanakan perkara yang di   pertanggungjawabkan ke atasnya ini berdosalah dia berdasarkan hadith   Nabi S.A.W :
(كفى بالمرء إثمًا أن يضيّع من يقوت)[6]
Maksud: “Cukuplah seseorang itu berdosa jika dia meninggalkan memberi makan yang di bawah jagaannya”.
                                   Disebabkan manusia lebih suka anak lelaki, maka Nabi telah mewasiatkan   untuk menjaga anak perempuan dengan baik. Sabda Nabi S.A.W  :-
(من عال جاريتين دخلت أنا وهو الجنة كهاتين،وأشار باصبعيه: السبابة،
 والتي تليها)[7]
Maksudnya   : Sesiapa yang menjaga 2 orang anak perempuan (dengan baik) nescaya   akan masuk syurga. Aku dan dia seperti ini dan menunjuk 2 jarinya jari   telunjuk dan jari tengah.
                                   Bapa perlu membelanjakan untuk anak-anaknya. Kalau tiada ayah, maka   datuk atau yang lain yang bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab   itu.  Hendaklah pihak yang bertanggungjawab itu berusaha menjadikan mata   pencariannya daripada yang halal supaya ALLAH MEMBERKATI REZEKINYA  ITU.
f)      Haknya untuk belajar.
        Penting bagi bapa mengajar dan mendidik anak-anaknya dengan cara   tarbiyyah yang betul supaya dia tidak rugi di dunia dan akhirat.  Antara   perkara penting yang mesti dititik beratkan dalam tarbiyyah ialah   memahamkan anak tentang tauhid yang betul, cara-cara ibadat, di samping   mengajar mereka akhlak, cara-cara berurusan juga mengajar mereka yang   halal dan haram.
      Perkara-perkara ini penting bagi   mewujudkan kesedaran pada anak tentang keperluan dan tujuan hidup untuk   mencapai redha Allah.
Mendidik dan mengajar ilmu adalah wajib atas ibubapa kerana ilmu penting dalam kehidupan anak tadi.
              Akhir sekali ada beberapa hak yang lain yang perlu juga ditunaikan   berbentuk hukum-hakam seperti sunat menggembirakan seorang yang akan   dikurniakan anak, ucapkan tahniah bagi yang dikurniakan anak, sunat   Tahniq تحنيك  )
   (untuk anak yang   baru dilahirkan (memberi makan bahan yang manis).  Banyak lagi perkara   yang serupa yang sudah di ketahui oleh para pembaca..... Bagi yang   berminat bolehlah membaca kitab Tuhfatul-Maudud Fi Ahkamil Maulud 
((تحفة المودود في أحكام المولود)) oleh Ibnu Qayy'm Al-Jauziyyah.                                       
              Sekiranya semua ini dilaksanakan sepenuhnya, tentulah generasi yang   bakal dilahirkan akan dapat menyelesaikan masalah-masalah. Saya katakan   di sini : Lihatlah Islam telah mengiktirafkan kedudukan anak semenjak  15  kurun yang lalu sedangkan di Barat, mereka hanyalah mengambil berat   tentang kanak-kanak pada awal kurun ini dengan pelbagai undang-undang   yang diwujudkan.  PBB berjaya mengadakan undang-undang untuk melindungi   kanak-kanak pada tahun 1959.  Undang-undang ini diwujudkan berikutan   usaha-usaha untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
              Undang-undang ini menitikberat masalah-masalah kesihatan, pendidikan   untuk melatih kebolehan dan kemahirannya, keperluan untuk pendidikan   agama, berakhlak dengan nilai-nilai yang tinggi dan hak untuk menikmati   semua peluang yang ada dan untuk melakukan hobinya.Apa yang ada dalam   undang-undang ini boleh dikatakan sebahagian kecil dari hak-hak yang   dianugerahkan oleh Islam untuk anak-anak.
[1] Diriwayatkan oleh Ibn Maajah
[2] Muttafaqun Alaih.
[3] Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad.
[4] Diriwayatkan oleh Muslim.
[5] Surah Al-Baqarah : 233.
[6] Diriwayatkan oleh Ahmad,Abu Daud,Hakim dan Baihaqie.
[7] Diriwayatkan oleh Muslim.