Friends Of Mine

Wednesday, October 20, 2010

Mengingatkan Aku dan Semua Ibu..

Baca ni untuk pengetahuan semua dan mungkin jua boleh dijadikan amalan bersama..Aku dapat dari Iza


" Anak adalah kurniaan & Amanah Allah .. Jagalah Sebaiknya.. "

Banyak benda yang orang perempuan sayang. Mereka sayangkan suami mereka, ibubapa, adik beradik, rumah, harta benda, barang perhiasan, kasut dan juga beg tangan. Namun, ada satu lagi benda yang mereka sayangi dan perhubungan kasih sayang ini amat sukar untuk diceritakan dengan kata – kata. Itulah hubungan kasih sayang dengan anak – anak. Menyayangi anak – anak ada sedikit perbezaannya, mungkin kerana susah payah ketika mengandungkan mereka dan juga ketika melahirkan mereka. Mungkin juga kerana susah payah menjaga mereka sewaktu kecil. Hubungan antara ibu dan anak itu sesuatu yang 'special'.

Anak – anak ini ada pelbagai ragamnya. Ada yang pendiam dan mudah menurut kata. Ada pula yang suka bergelak ketawa dan periang. Ada juga yang suka menangis. Sebagai seorang ibu, kita amat risau bila anak mula menangis. Sayangku, mengapa kau menangis? Ada banyak sebab anak – anak itu menangis. Bagi bayi yang kurang dari 6 bulan umurnya, agak mudah untuk menelah mengapa mereka menangis; samada basah (buang air kecil atau besar), mengantuk, lapar mahupun tidak selesa. Itu saja. Periksalah satu persatu, insyaAllah kita pasti mengetahui puncanya. Namun, jika semua sudah diperiksa dan ditangani, dan anak masih juga menangis, mungkin dia dalam kesakitan. Jika kelakuannya nampak berubah dari biasa, menjadi lembik dan mungkin tidak mahu menyusu seperti biasa, eloklah dibawa berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Namun bila anak semakin menginjak usianya, ketika dia mula bijak mengenal ibubapanya dan suasana di sekelilingnya, maka lebih banyak sebab untuk dia menangis. Keadaan menjadi semakin sukar bila dia masih belum pandai bercakap (iaitu sekitar usia 1 hingga 3 tahun) di mana dia mempunyai sebab tertentu untuk menangis tapi amat sukar untuk kita memahaminya lantaran jurang bahasa yang terbentuk antara kita dan dia.

Adakah sayangku merasa sedih? Merasa kesepian? Merasa ditinggalkan? Merasa tidak disayangi? Merasa cemburu kepada si adik yang lebih kecil? Merasa diketepikan? Perasaan – perasaan sebegini yang mula wujud di dalam diri mereka, sukar sekali untuk dinyatakan dengan perkataan. Maka menangislah caranya. Itulah caranya mereka hendak menyatakan rasa hati mereka.

Anak – anak itu suci, apa yang mereka rasa, itulah yang cuba dizahirkan dengan cara mereka yang tersendiri. Mereka tidak mempunyai perasaan dendam, busuk hati, ego, mahupun benci. Apa yang mereka ada dan rasa semuanya adalah fitrah. Anak – anak biasanya suka menyayangi, prihatin, sangat curious dengan persekitaran mereka dan suka mencuba. Bukankah kita juga begitu sewaktu kita kecil dahulu?


Tak kisahlah sebenarnya apa juga sebab mereka menangis, yang penting, sebagai ibu yang bijak, kita harus pandai menangani keadaan mereka ketika itu. Lagipun, apalah gunanya si ibu kalau tak pandai memujuk anak? Tapi sebelum itu, pastikan dahulu yang mereka menangis bukanlah disebabkan kesakitan seperti luka, lebam, demam ataupun disebabkan kelaparan. Setelah dipastikan bahawa dia menangis bukanlah disebabkan masalah fizikal, maka di sinilah peranan kita sebagai si ibu untuk merawat masalah di hati mereka.

Prihatin, dan tingkatkan sensitiviti kita. Itulah langkah pertama. Cuba memahami hati mereka sebagaimana kita ingin hati kita difahami. Cubalah berada di situasi mereka pada ketika itu, dengan segala kelemahan – kelemahan dan kekurangan yang mereka ada (tidak mampu memberitahu perasaan mereka, merasa insecure dan sebagainya). Pada ketika itu, apa lagi yang mampu mereka lakukan selain menangis?

Kita sebagai ibu, jangan cepat menganggap yang si anak hanyalah mengada – ngada dan manja. Bersangka baiklah terhadap mereka. Pada kebiasaannya, mereka sebenarnya memerlukan perhatian dari kita. Itulah anak, mereka risau kalau ibubapa tak menyayangi mereka. Mereka takut jika mereka tidak dipedulikan lagi. Maka berilah kasih sayang dan perhatian yang mereka harapkan dan dambakan itu. Belailah mereka, peluklah mereka... mereka hanya memahami bahawa kita sayangkan mereka dengan cara perbuatan kita – peluk dan belai. Itulah ubat yang sangat berkesan.

Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak? Namun tak semua ibu bapa pandai menzahirkan perasaan sayang itu kepada anak – anak mereka. Ketahuilah, kalau sekadar sayang di hati, namun tidak diluah dengan kata – kata, mereka mungkin tak mengetahuinya. Malah, kalau sekadar diluah dengan kata – kata, namun tidak dizahirkan dengan perbuatan, mereka merasa sukar untuk merasainya. Tunjukkan kasih sayang kita kepada anak – anak dengan kata – kata yang lembut dan belaian dan pelukan yang hangat. Mereka amat – amat menghargainya. Tanpa kita sedari, mereka akan mula kurang menangis, mereka menjadi lebih yakin pada diri mereka sendiri dan mereka akan mula menunjukkan kemampuan mereka sebagai anak yang hebat. Anak yang hebat lahir dari didikan ibu bapa yang hebat.

Wahai ibu, tanamkanlah perasaan sabar di dalam diri. Bersyukurlah kerana Allah mengurniakan dirimu dengan zuriat yang sihat dan comel. Lebih ramai wanita di luar sana yang amat inginkan anak, namun masih tidak diberi rezeki anak. Maka bagi kita yang diberi nikmat perkahwinan, mengandung, dan diberikan kurnia anak, bersyukurlah. Bersyukurlah dengan cara menjaga amanah itu sebaiknya. Janganlah sehingga kurnia itu ditarik balik baru kita menyesal menggigit jari. Bersyukurlah sementara masih diberi kesempatan.

Jika kita sesungguhnya bersyukur dengan pemberian Allah ini, dari situ timbullah perasaan sabar ketika membela mereka. Anak – anak hanyalah anak – anak, mereka itu fitrah. Mereka bukan dilahirkan semata – mata untuk menyakitkan hati kita. Sebaliknya mereka dilahirkan untuk menguji kesabaran dan kemampuan kita sebagai ibu muslimah yang mensyukuri nikmat Allah. Maka bersabarlah ketika mereka menangis. Tolaklah jauh – jauh perasaan benci, ego, pentingkan diri sendiri yang wujud ketika itu. Sebaliknya lembutkan hati, korbankan perasaan supaya kita dapat melayan mereka dengan penuh kasih sayang. Memanglah, sebagai isteri dan ibu kita sentiasa sibuk di dapur, menguruskan rumahtangga dan sibuk bekerja bagi ibu yang bekerja. Tapi itu bukanlah alasan untuk kita menolak anak ke tepi hanya kerana pada waktu itu dia memerlukan belaian kita. Belajarlah untuk menghargai mereka agar mereka membesar dalam suasana yang positif dan penuh keharmonian.

Bagaimanakah mahu belajar bersabar dengan kerenah anak – anak? Banyak caranya. Tepuk dada tanya selera. Antara cara yang berkesan adalah dengan berhenti sebentar dan berfikir. Kalau di negara Barat, mereka mengajar begini: jika ketika itu kita sedang merasa sangat marah, maka berhenti sebentar dari melakukan apa jua dan mula mengira sehingga sepuluh. Sambil itu, tarik nafas dalam – dalam dan hembuskan perlahan – lahan. Dengan itu kita dapat berfikir dengan lebih rasional dan tidak melakukan tindakan yang bodoh dan sia – sia. Itu cara orang putih. Maka bagi kita juga, boleh juga digunakan dengan cara yang sama, cuma daripada mengira satu sehingga sepuluh, sebaliknya kita diajar untuk beristighfar. Istighfarlah sehingga hati merasa tenang. Daripada berdiri kita duduk. Daripada duduk kita berbaring. Ambil wudhuk dan tenangkan diri. Kemudian barulah berfikir urusan yang mengganggu kita sebentar tadi. InsyaAllah kita akan terelak daripada melakukan perbuatan yang bodoh dan sia – sia.


Ada juga ibu yang membelai dan berlaku baik kepada anaknya hanya di depan suami atau ketika bersama orang lain. Sebaliknya di belakang mereka, dia menengking anak itu, menarik telinga sekuat hati, dan mencubit sehingga lebam – lebam bila anak itu menangis atau mengganggu urusan si ibu. Tapi terlupakah si ibu bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita? Malah Allah sentiasa mengetahui isi hati kita yang terdalam jauh di lubuk sana. Tak guna jika kita hanya baik dengan anak di hadapan orang sedangkan kita sebenarnya hanyalah menipu diri kita sendiri. Ingatlah, kita bertanggungjawab untuk menjawab di hadapan Allah di akhirat kelak akan segala perbuatan kita sekarang. Dan bukan sekadar menjawab kepada suami, keluarga atau orang sekeliling. Oleh itu sentiasalah berlaku baik kepada anak – anak pada bila – bila masa. Baik ketika keseorangan mahupun ketika bersama orang lain.

Ingatlah, kita diwujudkan di muka bumi ini hanyalah semata – mata untuk beribadah kepada Allah Taala. Orang yang paling Allah redha adalah mereka yang paling bertakwa dan banyak amalan solehnya. Maka jadikanlah tugasan seharian kita sebagai ibu dan isteri sebagai satu ibadah dan amalan soleh yang diterima oleh Allah Taala. Lakukan yang terbaik dan ikhlas hanya kerana Allah Taala. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal untuk kita.

2 comments:

Makbed said...

insaf.. oni baru abih wat hal. rasa nak darah tinggi dah tadi..

Farzlyna Mustafar said...

tu pun ader hikmahnya.. kan ko darah rendah.. boleh la naikkan sket blood presure ko.. hahahaha